Larangan berkhawat untuk elak zina
Ahmad
Baei Jaafar
Rasulullah s.a.w. dalam hadis daripada Ukbah bin Amir menyebut
bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Maka jangan sekali-kali seorang lelaki
bersendirian dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya kerana yang ketiga
ialah syaitan." (Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)
Mungkin ramai yang tidak tahu mengapa rasulullah melarang lelaki berkhalwat dengan wanita.
Mungkin pada mereka larangan itu menyekat kebebasan hak asasi mereka. Sebab itu
ada yang berkata, pertemuan itu hanya sekadar bualan biasa, tidak lebih
daripada itu. Tetapi sebenarnya rasulullah sendiri sudah memberi jawapan yang
jelas, iaitu tatkala mereka berduaan akan ada syaitan di antara keduanya.
Syaitan yang sifatnya suka menggoda,
akan meniupkan ransangan seks wanita dan kemudiannya lelaki. Ransangan syaitan
itu lambat laun akan berhasil dan ketika itu pasti berlaku perzinaan. Tetapi
jika antara mereka ada orang ketiga tentu pasangan itu akan merasa malu untuk
melakukan zina itu. Sebab itu bagi menyelamatkan keadaan rasulullah menyarankan
pasangan itu berteman orang yang ketiga seperti sabdanya yang bermaksud:
"Tidak halal bagi seseorang
lelaki berkhalwat dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali
ditemani mahram (mahram-orang yang diharamkan nikah/ kahwin dengannya. Maka
orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat
itu adalah syaitan". (sila rujuk bukuFiqh As-Sunnah oleh Syed Sabiq).
Sebenarnya larangan berduaan di
tempat yang mencurigakan dan sebaliknya digalakkan bertiga dalam sesuatu
pertemuan adalah untuk merealisasikan perintah Allah dalam firman-Nya yang
bermaksud:
"Dan janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." (Surah al-Isra' :32)
Jelas dalam ayat di atas Allah tidak melarang berzina secara
langsung tetapi melarang umat Islam menghampir perbuatan zina. Bayangkan kalau
menghampiri zina tidak berlaku, bolehkah berlaku perzinaan. Sudah pasti tidak
berlaku zina. Jadi, larangan menghampiri zina itu merujuk kepada larangan
berkhalwat, pergaulan bebas dan seumpamanya.
Undang-undang Jenayah Syariah
Umat Islam yang memahami perintah Allah dalam al-Quran dan
larangan Rasul dalam hadis di atas, pasti tidak tergamak untuk melakukan dosa
khalwat. Malah dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, kesalahan
khalwat dijelaskan bahawa; lelaki atau perempuan yang didapati berada bersama
seorang atau lebih yang bukan mahramnya di mana-mana tempat terselindung dalam
keadaan boleh menimbulkan syak mereka sedang melakukan perbuatan tidak
bermoral.
Manakala hukuman kesalahan jenayah khalwat ini diperuntukkan dalam
undang-undang jenayah syariah pada
Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, bila sabit
kesalahannya, dendanya tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh
tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Walaupun sudah ada larangan Allah tetapi umat Islam belum terdidik
dengan perintah Allah dan larangan Rasulullah. Malah tidak gentar dengan
peruntukan undang-undang Syariah di atas. Umat
Islam tidak takut dengan ancaman undang-undang itu kerana pada mereka kalau
kena denda, tidak sukar untuk membayarnya. Dan kalau kena penjara, tidaklah lama
bahkan akan dihidangkan dengan makanan yang terkawal lagi baik.
Jelas, penjenayah ini bukan sahaja
tidak takut kepada undang-undang dan hukumannya malah tidak takut kepada Allah
dan hukuman-Nya. Mereka juga tidak malu kepada Rasulullah dan jiran-jirannya.
Ya, kalau begitu keadaannya, boleh jadi mereka ini tidak pernah sujud menyembah
Allah.
Kenapa wanita dan lelaki ambil jalan
pintas?
Menyedari keadaan ini, suka saya
mengingatkan wanita yang terlibat juga mereka yang berniat untuk terlibat dalam
aktiviti khalwat, hargailah diri anda. Tubuh wanita adalah ciptaan Allah yang
termahal, maka tidak wajar diberikan percuma kepada seseorang lelaki. Ya,
wajarkah barang yang mahal milik anda diberikan kepada seseorang begitu sahaja?
Tentu tidakkan?
Sebenarnya dalam kes khalwat ini,
wanita tersebut telah menggadaikan maruahnya kepada lelaki tanpa mendapat
apa-apa manfaat kecuali mengandung anak luar nikah. Tetapi tahukah anda,
seorang lelaki dalam keadaan ini boleh menyelamatkan diri dan meninggalkan anda
bersama kandungan yang memalukan.
Jadi, apa faedahnya wanita
menggadaikan maruahnya hanya kerana keseronokan sementara. Sebenarnya walaupun
wanita itu tidak mengandung anak luar nikah,hati wanita itu tetap menderita dan
hidup dalam keadaan ketakutan. Walaupun secara zahirnya mereka rasa seronok
melakukan dosa dan maksiat tetapi hakikatnya hati mereka diburu rasa takut.
Percayalah ketika melakukan
melakukan kesalahan itu, hati mereka sentiasa rasa bersalah orang kampung dan
mereka takut kalau dikesan oleh mereka. Mereka juga takut kalau-kalau ditangkap
pihak berkuasa agama. Pada masa yang sama, mereka takut kalau-kalau diketahui
ibu bapa masing-masing.
Bayangkan kalau setiap hari mereka
dalam keadaan itu, di manakah kebahagiaan mereka. Kenapa memilih kebahagiaan
sementara sedangkan kebahagiaan sebenar boleh diperoleh dengan berkahwin?
Tetapi bagaimana kalau wanita itu mengandung anak luar nikah, di mana hendak
disimpankan rasa malu kepada jiran, keluarga terutama ibu bapa.
Sesungguhnya ibu bapa dalam keadaan
ini akan lebih terasa malu jika anak yang dididiknya sehingga dewasa
mencemarkan nama baik mereka. Malah akan terlebih malu kalau anaknya dibiarkan
mengandung tanpa suami. Tetapi bolehkah si anak itu membayangkan akan kesedihan
dan kekecewaan ibu bapanya?
Percayalah kalau semua ini dapat
dirasakan oleh wanita sebelum atau semasa hendak melakukan dosa dan maksiat
itu, pasti kenikmatan sementara itu boleh ditinggalkan dengan senang hati.
Apatah lagi kalau dia rasa takut kepada Allah dan hukuman yang bakal diterima nanti.
Umat Islam mesti mencegah
Gejala bersekedudukan atau khalwat
ini boleh dibasmi dalam sesuatu komuniti jika semua pihak dapat berintak
sebagai pencegah. Di sini, masyarakat tempatan perlu peka dengan jiran mereka
dan mengenal pasti siapa jiran mereka itu. Seseorang yang baik akan mengambil
tahu status jirannya supaya dengan itu dapat mengesan mana jiran yang melakukan
dosa dan maksiat sama ada pada waktu malam atau siang.
Perhatian jiran ini akan menjadikan
lelaki dan perempuan yang berniat untuk melakukan dosa dan maksiat terhalang.
Hal ini kerana sikap masyarakat setempat itu telah menjadi mata dan telinga
masjid dan kerajaan.
Oleh sebab itu ibu bapa perlulah
sentiasa mengingatkan anak-anak mereka sama ada lelaki mahu perempuan agar
menjauhi dosa dan maksiat. Ingatkan anak perempuan bahawa sentuhan lelaki boleh
menyebabkan mereka mengandung. Ingatkan juga, jika mereka mengandung bukan
sahaja dia akan malu tetapi ibu bapa juga malu. Dan ingatkan juga anak lelaki
jika mereka merosakkan maruah wanita, hakikatnya dia telah merosakkan maruah
ibu bapanya sendiri.
Inilah asas didikan iman yang boleh
diberikan kepada anak-anak. Jiwa mereka perlu disuburkan dengan rasa takut
kepada Allah, gerun kepada neraka-Nya dan cintakan syurga-Nya. Jika semua ini
dapat direalisasikan diri diri semua umat Islam pasti mereka akan menjaga
maruah masing-masing.
Ketika itu umat Islam akan berada
dalam masyarakat harmoni, yang tidak diselubungi gejala maksiat. Kalau di rumah
boleh rasa bahagia, dalam masyarakat juga boleh rasa bahagia, dan pastinya
dalam negara turut rasa bahagia.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar